MURATARA: Sebilangan besar peladang kelapa sawit di wilayah Musi Rawas Utara, Sumatera Selatan dilaporkan enggan menuai hasil sawit mereka berikutan harga komoditi itu menurun secara drastik.
Malah, ramai peladang itu juga sanggup membiarkan buah kelapa sawit busuk di ladang mereka.
“Macam mana nak menuai, sekarang harga sudah turun, belum upah menuai lagi, upah pun dipotong, jadi bagaimana mahu mendapat keuntungan, biarlah ia busuk di ladang,” kata peladang dikenali sebagai Irlanto kepada Tribunnews.com.
Irlanto mengakui sudah lebih sebulan tidak menuai sawit walaupun kebiasaannya melakukannya setiap dua minggu sekali.
Menurut Irlanto, ketika ini dia tidak mampu menjaga ladangnya dengan baik disebabkan harga buah kelapa sawit menurun, ditambah pula dengan harga baja dan racun rumput yang melambung tinggi.
Tambahnya, selain harga merosot, masalah lain yang dihadapi peladang di kawasan itu adalah ramai pengumpul terakhir tidak dapat menyerahkan kepada pembeli dalam pasaran.
Seorang lagi peladang kelapa sawit, Daud mengakui secara sengaja membiarkan hasil sawit busuk.
Katanya, ramai peladang akan berasa gembira sekiranya harga buah sawit mencecah 2,000 hingga 3,000 rupiah (60 sen hingga 90 sen).
Kelmarin, ratusan pekebun kecil Indonesia melancarkan protes di Jakarta dan beberapa kawasan lain di negara itu bagi menuntut kerajaan menamatkan larangan eksport minyak sawit yang menjejaskan pendapatan mereka.
Ramai ahli politik juga menggesa Presiden Joko Widodo (Jokowi) menilai semula larangan eksport minyak sawit kerana menganggap tidak bagus untuk peladang melainkan bantuan lebih besar disalurkan segera kepada mereka sebagai ganti rugi.
Indonesia menghentikan penghantaran minyak sawit mentah dan beberapa produknya sejak 28 April lalu, dalam usaha mengawal lonjakan harga minyak masak tempatan yang menjejaskan pasaran minyak sayur-sayuran global.