NEW DELHI: Seorang pakar bedah di India merancang untuk memindahkan rahim kepada lelaki yang menjalani pembedahan menukar jantina atau wanita transgender agar dapat menjadikan mereka hamil.
Lapor Daily Mail, pembedahan berisiko itu akan melibatkan pengambilan organ pembiakan daripada penderma meninggal dunia atau pesakit yang sudah mengeluarkannya.
Sebelum ini, terdapat satu kes dilaporkan mengenai rahim dimasukkan ke dalam wanita transgender.
Namun, wanita transgender itu meninggal dunia akibat komplikasi beberapa bulan kemudian.
Cubaan menjadikan wanita transgender hamil bakal menjadi kejayaan besar dan memerlukan rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) dan pembedahan caesarean (C-section) kerana mereka tidak mempunyai faraj yang berfungsi sepenuhnya.
Pakar bedah, Dr. Narendra Kaushik yang mengendalikan klinik penukaran jantina berkata, dia sangat optimistik mampu menjayakan prosedur tersebut.
“Setiap wanita transgender mahu menjadi wanita sebaik mungkin termasuk menjadi seorang ibu.
“Cara untuk menuju ke arah itu adalah dengan menjalani pemindahan rahim sama seperti buah pinggang atau mana-mana organ lain.
“Inilah masa depan, kita tidak boleh meramalkan dengan tepat bila perkara ini akan berlaku tetapi ia akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.
Kaushik bagaimanapun tidak mendedahkan penerima atau memperincikan butiran lanjut mengenai pembedahan yang akan dijalankan.
“Kami sudah mempunyai rancangan dan sangat optimis mengenai perkara ini,” ujarnya.
Pemindahan rahim menelan kos perbelanjaan sekitar 50,000 pound (RM270,200) dan satu kitaran rawatan IVF boleh mencecah lebih 5,000 pound (RM27,020).