Nyawa dan darah saya untuk Palestin - Muna el-Kurd - Utusan Malaysia

Nyawa dan darah saya untuk Palestin – Muna el-Kurd

GADIS berusia 24 tahun ini tidak pernah gentar berdepan Zionis demi nasib bangsanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIANYA baru mencecah 24 tahun, namun keberaniannya harus dipuji kerana gadis itu, Muna el-Kurd tidak akan mengalah dalam perjuangannya untuk membela nasib rakyat Palestin yang diusir dari rumah sendiri di Baitulmuqaddis Timur.

Kemuncak perjuangan Muna berlaku pada Jun tahun lalu apabila dia ditahan pihak berkuasa Zionis.

Ketika ditahan di rumahnya di Sheikh Jarrah, tangan Muna digari polis Zionis, namun tidak sedikit pun riak ketakutan dipamerkan pada wajahnya.

Malahan, penahanan itu menjadi titik tolak kepada Muna untuk tampil lebih lantang, selain perjuangannya mendapat sokongan antarabangsa.

Punca utama gadis itu ditahan kerana dia didakwa terlibat dalam tunjuk perasaan oleh rakyat Palestin yang membantah rumah mereka di Sheikh Jarrah dirobohkan Zionis.

Ketegangan di Sheikh Jarrah turut memainkan peranan penting dalam pertempuran antara Zionis dengan kumpulan Hamas.

Pada Mei tahun lalu, Israel dan Hamas saling melancarkan serangan selama 11 hari, menyebabkan lebih 250 orang terbunuh, terutamanya penduduk di Semenanjung Gaza.

SIAPA MUNA?
Muna merupakan seorang aktivis dan wartawan yang bergiat aktif dalam mempertahankan kedudukan rakyat Palestin di Sheikh Jarrah.

Sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa Israel semakin ‘galak’ merobohkan rumah penduduk Palestin menyebabkan mereka merempat di tanah sendiri.

Alasan yang diberikan oleh Zionis untuk mereka ‘menghalalkan’ tindakan tersebut amatlah tidak masuk akal, menyebabkan Muna bangkit dan mempertahankan hak bangsanya.

Menerusi media sosial, Muna sering melaporkan keadaan semasa di Sheikh Jarrah.

Biarpun berdepan pelbagai cabaran, termasuk akaun media sosialnya disekat, perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk memberitahu dunia apa sebenarnya berlaku kepada rakyat Palestin.

Bagi Muna, biarpun tidak banyak yang boleh dilakukan dunia untuk membantu rakyat Palestin, sekurang-kurangnya mereka perlu tahu situasi sebenar.

“Adakah salah jika saya ingin sampaikan kepada dunia mengenai penderitaan yang terpaksa kami lalui untuk meneruskan kehidupan?

“Dunia mungkin tidak hentikan penindasan Zionis terhadap Palestin, namun anda semua perlu tahu apa yang berlaku pada kami,” katanya.

ADIK KEMBAR
Perjuangan Muna tidak keseorangan apabila adik kembarnya, Mohammed el-Kurd setia bersamanya dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Sejak lebih sedekad lalu, keluarga el-Kurd bersama puluhan jiran mereka di Sheikh Jarrah sentiasa menentang Zionis yang sering ‘mencari jalan’ untuk mengusir mereka, sekali gus merobohkan kediaman penduduk Palestin.

Sehubungan itu, keluarga el-Kurd sentiasa ‘diperhatikan oleh Zionis’ dan sekiranya ada peluang, anggota keluarga mereka akan ditahan tanpa sebab dan didakwa dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

Sama seperti kembarnya, Mohammed juga berani mempertahankan nasib bangsanya.

Muna dan Mohammed saling berkongsi mengenai keadaan semasa di Sheikh Jarrah, termasuk situasi tegang di kawasan lain di seluruh Palestin.

TIDAK AKAN SENYAP
Biarpun sering menerima ancaman daripada pihak berkuasa Zionis, Muna dan kembarnya berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka demi bangsa Palestin.

“Kami tidak akan senyap melainkan nafas terhenti. Ini sahaja cara untuk kami sampaikan kepada dunia luar tentang penderitaan Palestin.

“Sama seperti Zionis yang tidak akan berhenti menindas rakyat Palestin, Muna dan Mohammed el-Kurd juga tidak akan berhenti.

“Nyawa dan darah kami untuk Palestin,” jelas mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya