WASHINGTON: Lebih 200 kelasi dipindahkan dari kapal pengangkut pesawat USS George Washington selepas beberapa kes kematian akibat bunuh diri dilaporkan dalam kalangan anak kapal.
Data itu turut membabitkan tiga kes kematian dilaporkan dalam tempoh kurang daripada seminggu pada April lalu.
Menurut Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), kelasi berkenaan dipindahkan ke sebuah kemudahan pemasangan tempatan kerana kapal pengangkut pesawat itu akan terus melalui proses baik pulih di limbungan di Newport News, Virginia.
Memetik laporan CNN, sepanjang setahun lalu, tujuh anak kapal meninggal dunia termasuk empat anggota akibat bunuh diri.
Situasi itu mendorong Tentera Laut melancarkan siasatan terhadap budaya dalam kalangan kelasi dalam kapal pengangkut kelas Nimitz itu.
Angkatan Udara Tentera Laut Atlantik dalam kenyataan memaklumkan pegawai bertugas kapal pengangkut, Kapten Brent Gaut membenarkan kelasi berkenaan berpindah ke tempat penginapan lain.
Jelas kenyataan itu, proses pemindahan yang bermula pada Isnin lalu menyaksikan 200 kelasi berpindah ke kemudahan Tentera Laut AS berdekatan.
“Proses itu akan diteruskan sehingga semua kelasi yang mahu berpindah sudah berbuat demikian.
“Walaupun kapal pengangkut itu tidak memiliki kapasiti penuh iaitu kira-kira 5,000 kelasi, ia masih mempunyai 2,500 anggota yang bekerja ketika proses baik pulih.
“Kira-kira 420 kelasi tinggal di kapal itu ketika proses baik pulih,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Komander Angkatan Udara Tentera Laut AS Armada Atlantik, Laksamana John Meier berkata, hasil siasatan kes kematian itu dijangka diperoleh pada minggu ini.