JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyeru semua umat Islam di negara ini mengadakan bacaan doa qunut nazilah menjelang hari kemerdekaan Israel pada 14 Mei ini.
Qunut nazilah merupakan doa yang dibaca ketika umat Islam ditimpa keadaan yang tidak menyenangkan seperti bencana, kemalangan, pandemik atau wabak penyakit.
Bacaan doa itu sering dilakukan pada rakaat terakhir solat fardu dan boleh dilakukan sendiri mahupun secara berjemaah di masjid.
“Semua umat Islam diseru supaya membaca doa qunut nazilah ketika solat fardu bagi mendoakan kesejahteraan saudara kita di Palestin yang sehingga kini ditindas Zionis.
“MUI berharap semua organisasi Islam juga dapat melakukan bacaan doa ini,” kata Ketua MUI, Sudartono Abdul Hakim kepada CNN Indonesia.
Selain itu, Sudartono juga meminta semua masjid dan lembaga pendidikan Islam menyampaikan seruan ini agar bacaan doa qunut nazilah dapat dilakukan secara besar-besaran.
Katanya, hari kemerdekaan Zionis amat melukai rakyat Palestin kerana tarikh tersebut pada tahun 1948 menyaksikan penduduk Arab Palestin diusir dari tanah air sendiri secara besar-besaran.
Peristiwa itu dinamakan Hari Nakba dan terus menjadi pendorong kepada semua rakyat Palestin untuk membaskan negara mereka daripada cengkaman Zionis.
Dalam pada itu, Sudartono menjelaskan MUI sering menyokong ketegasan Kementerian Luar yang membela nasib rakyat Palestin.
“Kerajaan dan rakyat Indonesia perlu berjuang membantu kemerdekaan buat Palestin dan sehubungan itu, kita perlu menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin,” ujarnya.