KYIV: Datuk Bandar, Vitali Klitschko menyifatkan serangan peluru berpandu Russia ke atas Kyiv baru-baru ini merupakan cara Presiden Vladimir Putin menunjukkan isyarat `jari tengah’ kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Barat mengenai perang di Ukraine.
Russia mengesahkan melancarkan serangan udara ke atas Kyiv ketika Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengadakan lawatan ke Ukraine pada Khamis lalu.
Serangan yang menyasarkan ibu negara Ukraine itu menyebabkan seorang terbunuh dan 10 lagi cedera.
Penerbit bagi Radio Free Europe/Radio Liberty yang dibiayai oleh Amerika Syarikat (AS), Vera Gyrych terbunuh apabila peluru berpandu Russia terkena bangunan kediamannya.
Ia merupakan serangan pertama ke atas Kyiv sejak Russia menumpukan semula operasinya di wilayah Donbas di timur Ukraine.
Dilaporkan, Guterres bersama pasukan pegawainya tidak mengalami sebarang kecederaan ketika insiden itu.
Sementara itu, Penganalisis politik dan ketua badan pemikir Penta Center, Volodymyr Fesenko berkata, serangan peluru berpandu dilancarkan Russia membawa mesej yang jelas.
“Russia menghantar isyarat jelas mengenai hasratnya untuk meneruskan perang walaupun mendapat tekanan antarabangsa,” katanya.
Menurut Fesenko, Putin akan terus menyerang sasaran di seluruh Ukraine.
“Dengan melancarkan serangan peluru berpandu ini, Kremlin menghantar amaran kepada semua organisasi antarabangsa yang cuba mempengaruhi atau rancangan ketenteraan agresif Russia.
“Walaupun Russia setakat ini gagal meraih sebarang manfaat ketara di Ukraine, Moscow masih mahu meneruskan serangannya dan terus menyerang bandar-bandar negara itu dengan peluru berpandu,” katanya. – AGENSI