JAKARTA: Kerajaan terpaksa mengambil langkah pencegahan mengelakkan jangkitan penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menyerang ratusan ternakan dengan perintah berkurung di Jawa Timur.
Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo berkata, pihaknya juga menggiatkan usaha penjejakan dan pengesanan serta penghasilan vaksin FMD.
Selain itu, katanya, pihaknya juga mengerahkan pasukan ke lapangan dan bekalan ubat-ubatan bagi merawat pesakit yang sudah berjangkit.
“Kita akan terus berusaha dengan mengambil langkah bersepadu yang boleh mengurangkan bilangan jangkitan sama ada menerusi kuarantin atau perintah berkurung.
“Kita juga mahu vaksin FMD dapat dihasilkan segera,” katanya selepas melakukan lawatan ke Kabupaten Gresik yang disahkan sebagai wilayah positif dengan penyakit tersebut.
Menurut Syahrul, Indonesia disahkan bebas dari FMD sejak 1986 dan mendapat perakuan antarabangsa pada 1990.
Oleh itu, beliau mahu usaha mitigasi antara pemerintah daerah dapat dilaksanakan secara optimum bagi mengelakkan penyebaran FMD di beberapa wilayah sekali gus menjadikan negara bebas FMD.
“Kita harap kadar jangkitan FMD berada pada tahap ringan,” katanya.
Dalam pada itu, pemerintah Kabupaten Wonogiri, Jawa Tengah mengawal ketat kemasukan lembu dari Jawa Timur bagi mengelakkan penularan penyakit FMD.
Hal ini, katanya, sebanyak 1,247 lembu dilaporkan sudah dijangkiti penyakit itu di Jawa Timur.
“Kita laksanakan ujian persampelan terhadap binatang ternakan yang keluar masuk di wilayah ini. Ujian itu penting bagi mengelakkan jangkitan FMD menyerang populasi 158,000 lembu di kawasan ini.
“Serangan itu juga boleh mendatangkan kerugian ekonomi luar biasa kepada golongan petani dan penternak. Oleh itu, semua penternak perlu meningkatkan kebersihan di kandang lembu,” katanya.