Finland lakukan kesilapan - Putin - Utusan Malaysia

Finland lakukan kesilapan – Putin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia mendakwa Finland melakukan kesilapan dengan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ketika negara itu tidak menghadapi sebarang `ancaman keselamatan’.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Vladimir Putin dalam satu panggilan telefon bersama rakan sejawatnya dari Finland, Sauli Niinisto baru-baru ini.

Berdasarkan laporan intipati perbualan didedahkan oleh Moscow, Putin menegaskan mengenai tindakan Finland yang mahu meninggalkan dasar berkecuali diamalkan sejak Perang Dingin.   

“Meninggalkan dasar berkecuali ketenteraan merupakan satu kesilapan memandangkan tiada ancaman terhadap keselamatan Finland,” jelas laporan itu.

Laporan itu bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh perbualan antara Putin dan Niinisto atau sama ada Presiden Finland itu sudah berunding dengan pemimpin dunia lain sebelum membuat panggilan telefon tersebut.

Dalam pada itu, Niinisto menyifatkan perbualannya bersama Putin berjalan dengan baik ketika kedua-dua pihak berusaha `mengelak ketegangan’.

Pemimpin Russia itu turut dimaklumkan bahawa insiden pencerobohan Moscow di Ukraine serta serangan siber ke atas Finland dan Sweden telah `mengubah persekitaran keselamatan’ di Helsinki.

Usaha Finland dan Sweden untuk menjadi sebahagian NATO menemui halangan apabila Presiden Turki, Erdogan Recep Tayyip memaklumkan pihaknya tidak dapat menyokong penyertaan dua negara itu kerana organisasi pengganas termasuk kumpulan militan Kurdish PKK beroperasi di kebanyakan negara Nordik.  

NATO yang disertai pakatan 30 negara memerlukan undian kesemua ahli untuk permohonan penyertaan dua negara itu diterima. 

Penasihat dasar luar tertinggi pentadbiran Erdogan, Ibrahim Kalin menjelaskan Turki `tidak menutup pintu’ terhadap bidaan keahlian negara berkenaan.

“Kami tidak menutup pintu tetapi kami hanya membangkitkan isu ini sebagai soal keselamatan negara untuk Turki,” katanya.    

Sebelum ini, Russia berulang kali memberi amaran kepada Finland dan Sweden mengenai implikasi bakal dihadapi sekiranya kedua-dua negara itu menyertai pakatan NATO.

* ANCAM LANCAR SERANGAN NUKLEAR 

Sementara itu, seorang sekutu kanan Putin mengancam untuk melancarkan serangan nuklear ke atas Britain.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan Duma, Aleksey Zhuravlyov mendakwa serangan itu hanya akan mengambil masa selama tiga minit.

Malah, Zhuravlyov menegaskan Finland akan dihapuskan dalam beberapa saat sahaja.

Ancaman Zhuravlyov itu menunjukkan pemimpin itu seolah-olah berasa kecewa mengenai isu pencerobohan Putin yang goyah ke atas Ukraine dan penyertaan Finland ke NATO.

Berita itu menyusul selepas Russia memutuskan bekalan elektrik ke Finland.      

Negara Nordik itu mengimport kira-kira 10 peratus tenaga elektrik dari Russia.

Aliran tenaga elektrik Russia ke Finland dihentikan ketika pengimport milik negara itu belum menerima bayaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya