GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pandemik Covid-19 meragut kira-kira 15 juta nyawa di seluruh dunia pada 2020 dan 2021.
Angka diperolehi itu hampir tiga kali ganda berbanding jumlah kematian secara rasmi yang dikaitkan dengan jangkitan berkenaan.
Anggaran WHO mengenai jumlah kematian akibat pandemik itu termasuk nyawa terkorban disebabkan kesannya akhirnya meletakkan angka pada kesan krisis lebih luas.
Angka itu memberikan gambaran lebih realistik mengenai pandemik terburuk dalam tempoh seabad yang dianggarkan membunuh kira-kira satu daripada 500 orang di seluruh dunia dan terus meragut ribuan nyawa setiap minggu.
“Jumlah kematian dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan pandemik Covid-19 antara 1 Januari 2020 dan 31 Disember 2021 adalah kira-kira 14.9 juta (julat 13.3 juta hingga 16.6 juta),” jelas WHO.
Angka tersebut sangat sensitif disebabkan cara WHO memikirkan pengendalian krisis oleh pihak berkuasa di seluruh dunia, dengan beberapa negara terutamanya India melaporkan jumlah yang jauh lebih tinggi.
India melaporkan sebanyak 481,000 kes kematian akibat Covid-19 bagi tempoh 2020-2021 namun jumlah anggaran WHO adalah 3.3 juta hingga 6.5 juta kematian.
Bagaimanapun India membidas data yang meletakkan angka itu 10 kali ganda berbanding jumlah kes rasmi negara itu.
WHO menganggarkan kira-kira 4.75 juta kematian di India sejak 2020 boleh dikaitkan dengan krisis itu, sama ada secara langsung daripada Covid-19 atau secara tidak langsung melalui kesan pandemik yang lebih meluas terhadap sistem kesihatan dan masyarakat.
Kementerian Kesihatan India dalam satu kenyataan menuduh WHO menerbitkan data `tanpa mengambil kira situasi menyeluruh negara itu’.
Angka yang disebut sebagai kematian berlebihan, dikira sebagai perbezaan antara jumlah kematian yang berlaku dan jumlah yang dijangkakan jika tiada pandemik itu, berdasarkan data dari tahun-tahun sebelumnya. – AFP