JAKARTA: Warganet Indonesia berlumba-lumba membuat ulasan buruk mengenai Sungai Aare di Switzerland menerusi Google Maps selepas anak lelaki Gabenor Jawa Barat hanyut di sungai berkenaan.
Emmeril Kahn Mumtadz, 23, dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika berenang di sungai tersebut bersama keluarganya pada Khamis lalu dan masih belum ditemukan sehingga kini.
Tinjauan Kompas.com mendapati, ruang ulasan mengenai sungai tersebut di Google Maps dipenuhi dengan komen dari masyarakat Indonesia.
Beberapa pengguna internet mendoakan supaya Emmeril atau lebih mesra disapa Eril yang merupakan anak kepada Ridwan Kamil ditemukan segera dalam keadaan selamat.
Segelintir warganet turut memberikan ‘satu bintang’ mengenai sungai tersebut yang disifatkan ‘melukai hati rakyat Indonesia’.
Malahan, ada pengguna meletakkan gambar yang tidak berkaitan termasuk iklan menjual motosikal.
“Tidak semestinya tempat yang cantik tidak bahaya,” tulis seorang pengguna internet.
Seorang lagi pengguna menyifatkan sungai tersebut teruk dan memberikan rating satu bintang.
Selain itu, ada juga pengguna yang tidak bersetuju dengan sikap segelintir masyarakat yang dilihat ‘melepaskan geram’ menerusi ulasan buruk.
“Kepada rakyat Switzerland, saya minta maaf mewakili warga Indonesia kerana memberikan ulasann buruk mengenai Sungai Aare.
“Anggap sahaja mereka tidak mengetahui hal sebenar dan hiraukan ulasan buruk itu,” tulis seorang pengguna dengan nama Febria Nathania.
Febria juga mengingatkan masyarakat supaya tidak memalukan imej Indonesia kerana insiden yang berlaku terhadap Eril adalah kemalangan.