SEOUL: Selepas merekodkan kes Covid-19 buat kali pertama, Korea Utara mengesahkan seorang penduduknya meninggal dunia akibat virus maut tersebut.
Lebih membimbangkan, ratusan ribu lagi penduduk mempunyai gejala jangkitan seperti demam, sekali gus memberi gambaran Pyongyang bakal ‘lumpuh’ akibat koronavirus.
Agensi berita KCNA melaporkan, kira-kira 187,000 orang kini dirawat di pusat kuarantin selepas penularan jangkitan bermula di seluruh Korea Utara sejak akhir April lalu.
Dianggarkan 350,000 penduduk menunjukkan gejala seperti demam, termasuk 18,000 yang dilaporkan mempunyai tanda serupa kelmarin.
Sehingga kini, 162,200 daripada jumlah itu sudah menerima rawatan, namun tidak dapat dipastikan berapa jumlah yang positif Covid-19.
Menurut KCNA, sekurang-kurangnya enam orang yang mempunyai gejala demam dengan seorang daripadanya disahkan maut akibat varian Omicron.
Sehubungan itu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara.
Beliau turut mengkritik sistem pencegahan yang dilakukan oleh negara itu sebagai ‘tidak cekap’ berikutan jangkitan yang berlaku.
Oleh hal yang demikian, beliau mengarahkan supaya semua penduduk yang demam diberi rawatan dan perlu menjalani kuarantin bagi membendung penularan.
Jangkitan Covid-19 secara tidak langsung memberi tamparan hebat buat Pyongyang yang selama ini menganggap mereka ‘kebal koronavirus’, selain tidak menjalankan program vaksinasi.
Masalah itu dijangka memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan makanan yang dihadapi Korea Utara, malahan terdapat pandangan menyatakan tidak mustahil jika negara itu sekali lagi berdepan krisis kebuluran. – REUTERS