Will Smith berundur daripada Oscar - Utusan Malaysia

Will Smith berundur daripada Oscar

AKSI Will Smith menampar Chris Rock semasa Anugerah Oscar ke-94 pada hujung minggu lalu mengejutkan banyak pihak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Aktor Will Smith mengesahkan beliau sudah meletak jawatan daripada Akademi Seni dan Sains Motion Picture selepas dia menampar pelakon komedi, Chris Rock di pentas Anugerah Oscar pada hujung minggu lalu.

Lapor BBC, akademi tersebut sudah pun menerima peletakan jawatan Smith dan akan meneruskan tindakan disiplin terhadap aktor berkenaan.

“Saya akan menerima sebarang akibat susulan tindakan saya. Perbuatan saya semasa majlis Anugerah Oscar ke-94 amat mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan,” kata Smith menerusi kenyataan.

Dalam insiden itu, Smith menampar Rock selepas pelakon komedi itu menjadikan kepala botak isterinya, Jada Pinkett Smith sebagai bahan jenaka ketika menjadi hos dalam majlis tersebut.

Smith kemudiannya menjerit ke arah Rock ‘jangan sebut nama isteri saya daripada mulut jahat anda’.

Selain itu, Smith memaklumkan, ‘sudah ramai individu disakitinya’ termasuk Rock, keluarganya dan rakan taulan serta penonton Oscar di seluruh dunia.

“Saya sudah mengkhianati kepercayaan yang diberikan akademi. Saya menafikan peluang calon dan pemenang lain untuk mereka meraikan kejayaan mereka.

“Saya benar-benar patah hati dengan insiden yang berlaku. Saya mahu memberi tumpuan semula kepada mereka yang patut diberi tumpuan atas pencapaian mereka dan membenarkan akademi kembali melakukan kerja luar biasa untuk menyokong kreativiti dan kesenian dalam perfileman,” ujarnya.

Sementara itu, biarpun Smith meletak jawatan, akademi masih boleh merampas semula anugerah Oscar yang diterima pelakon itu bagi kategori pelakon terbaik dalam filem King Richard.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya