GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat jangkitan hepatitis akut yang tidak diketahui asal usulnya.
Sehingga kini, sebanyak 169 kes dilaporkan melibatkan sejumlah kanak-kanak di 12 negara.
WHO mengeluarkan data tersebut ketika pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia ‘menyiasat dan menilai’ peningkatan kes hepatitis akut dalam kalangan kanak-kanak.
Sehingga 21 April, kes hepatitis tersebut dilaporkan berlaku di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Sepanyol, Israel, Denmark, Ireland, Belanda, Itali, Norway, Perancis, Romania dan Belgium.
WHO menjelaskan, sebanyak 114 daripada 169 kes itu berlaku di UK.
Kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak berusia sebulan hingga 17 tahun, selain memerlukan proses pemindahan hati.
Namun, WHO tidak mendedahkan maklumat mengenai kanak-kanak yang meninggal dunia akibat jangkitan tersebut.
Selain itu, satu virus selsema biasa yang dikenali sebagai adenovirus dikesan dalam sekurang-kurangnya 74 kes yang dilaporkan.
Sehubungan itu, WHO menegaskan pihaknya memantau rapi situasi yang berlaku dan bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan di negara terlibat. – REUTERS