TEXAS: Seorang wanita mendedahkan dia meraih pendapatan lebih AS$80,000 (RM337,365) dalam tempoh dua tahun dengan hasil jualan barangan yang dibuang ke dalam tong sampah.
Lapor Daily Mail, Tiffany Butler, 32, dari Aubrey, Texas menghabiskan masa kira-kira enam jam sehari menyelongkar tong sampah milik kedai jenama mewah.
Katanya, dia menemukan pelbagai barangan terbuang antaranya kosmetik jenama mewah, perabot dan almari antik yang bernilai AS$3,000 (RM12,651).
Menurut Butler, sepanjang dua tahun lalu, dia tidak membeli alat solek mahupun produk kebersihan untuk keluarganya.
Malah, ibu kepada empat orang anak itu mengakui menghiasi seluruh rumahnya dengan barang-barang ditemukan dalam tong sampah termasuk katil kanak-kanak.
Butler menubuhkan perniagaan sendiri dengan menjual semula barangan terbuang tong sampah termasuk pembersih hampagas, fon kepala, cincin, rantai dan juga makanan anjing.
Wanita itu turut mempunyai gudang sendiri untuk menyimpan semua barangan yang diselongkar dalam tong sampah.
Dilaporkan, dia kini sedang mengubah suai dan menghiai barangan terbuang yang ditemuinya.
Butler turut mendokumenkan penemuan barangan yang ditemukannya di tong sampah melalui sosial media.
Malah, wanita itu mempunyai laman sesawang sendiri, DumpsterDivingMama yang menjadi platform untuk dia menjual semua barangan terbuang dari tong sampah.