Tarawih pertama di Hagia Sophia selepas 88 tahun

Tarawih pertama di Hagia Sophia selepas 88 tahun

HAGIA Sophia diubah kembali menjadi masjid selepas digazetkan sebagai muzium 86 tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Buat pertama kali dalam tempoh 88 tahun, solat tarawih dibenarkan semula dilakukan di Masjid Hagia Sophia sempena Ramadan tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Diyanet, iaitu badan awam yang bertanggungjawab hal berkaitan agama, Ali Erbas kelmarin.

“Bersyukur kepada Allah SWT kerana buat pertama kali selepas 88 tahun, Hagia Sophia akan menerima kedatangan jemaah untuk menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

“Solat tarawih di Hagia Sophia akan dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan bermula pada minggu ini,” katanya.

Bangunan ikonik yang pernah dijadikan sebagai muzium sebelum statusnya sebagai masjid dikembalikan pada 2020 itu tidak dapat dikunjungi jemaah sehingga ke hari ini kerana pandemik Covid-19.

Hagia Sophia pada awalnya dibina sebagai gereja antara 532 dan 537 selepas Masihi dan disifatkan sebagai struktur terpenting dalam empayar Byzantine.

Selepas empayar Uthmaniyah berkuasa pada 1453, Hagia Sophia ditukar menjadi masjid sebelum dibuka sebagai muzium pada 1935.

Pada Jun 2020, pihak berkuasa Turki menukar status Hagia Sophia kepada masjid dan langkah itu mendapat kritikan meluas dari seluruh dunia.

Pada tahun lalu, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) meminta Turki menyerahkan laporan mengenai keadaan Hagia Sophia selepas agensi itu menzahirkan kebimbangan terhadap penukaran statusnya kepada masjid.

Namun, Turki menolak permintaan UNESCO dan menyifatkan agensi itu bersikap berat sebelah dan bermotifkan politik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya