COLUMBIA, South Carolina: Polis menahan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah sibuk di sini sehingga mencederakan 14 pengunjung.
Ketua Polis Columbia, W.H. Holbrook berkata, seorang daripada tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini akan didakwa terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kami percaya insiden ini bukan berlaku secara rawak dan kami tahu ketiga-tiga individu yang ditahan saling mengenali dan mengetahui tentang insiden tembakann itu,” katanya.
Pihak berkuasa mengesahkan insiden itu tidak meragut nyawa, namun lapan daripada mangsa dikejarkan ke hospital dengan dua daripadanya cedera parah.
Menurut seorang saksi, Daniel Johnson, dia dan keluarganya sedang makan di medan selera pusat beli-belah itu ketika terdengar bunyi tembakan dan melihat orang ramai melarikan diri.
Katanya, orang ramai menjerit ketakutan sehingga ada yang terlanggar meja di medan selera ketika melarikan diri.
“Semua pengunjung cuba menyelamatkan diri dan berusha keluar dari premis segera. Situasi ketika itu amat tegang,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan polis masih ditempatkan di lokasi kejadian, beberapa jam selepas tembakan berlaku. – AP