Rusia akan tamatkan kerjasama Barat di ISS - Utusan Malaysia

Rusia akan tamatkan kerjasama Barat di ISS

KETUA Roscosmos, Dmitry Rogozin - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Rusia menegaskan akan menamatkan kerjasama dengan negara-negara Barat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sehingga sekatan ditarik semula.

Pengarah angkasa lepas Rusia, Dmitry Rogozin berkata, hubungan antara rakan kongsi di ISS dan projek angkasa lepas lain mungkin dapat dipulihkan semula hanya jika sekatan Barat ke atas Moscow ditarik balik. 

Rogozin menerusi hantaran di media sosial memaklumkan tujuan sekatan itu dikenakan adalah untuk `membunuh ekonomi Rusia dan menjerumus rakyatnya ke kancah kemiskinan, hilang harapan serta kebuluran sehingga membuatkan negaranya dalam keadaan terdesak’. 

Tegas beliau, mereka tidak akan berjaya melakukannya namun niat itu amat jelas. 

“Sebab itu, saya percaya hubungan antara rakan kongsi di ISS dan projek lain hanya dapat dipulihkan dengan penghapusan sekatan secara sepenuhnya dan tanpa syarat,” katanya.

Jelas Rogozin, cadangan Roscosmos berhubung masa untuk menamatkan kerjasama di ISS dengan agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), Kanada, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun akan dimaklumkan dalam masa terdekat kepada pihak berkuasa Rusia. 

Beliau sebelum ini memberi amaran sekatan dikenakan itu boleh `memusnahkan’ kerjasama AS-Rusia di ISS.

Negara-negara Barat mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Rusia susulan operasi ketenteraan khas yang dilancarkan oleh Moscow ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.

Di sebalik ketegangan yang semakin memuncak itu, seorang angkawasan warga AS dan dua dari Rusia selamat mendarat di Kazakhstan Rabu lalu.

Mark Vande Hei, Pyotr Dubrov dan Anton Shkaplerov pulang dari ISS dengan menaiki kapal angkasa Soyuz.

Bulan lalu, Agensi Angkasa Lepas Eropah memaklumkan pihaknya menggantung kerjasama dengan Roscosmos berhubung misi ExoMars.

Ia merupakan misi bersama antara agensi angkasa lepas itu dengan Roscosmos yang bertujuan mengesan air di Valles Marineris di planet Marikh. – REUTERS       

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya