ABUJA: Tentera udara Nigeria mengarahkan satu siasatan dijalankan selepas sebuah pesawat latihan tentera terhempas di negeri barat laut Kaduna.
Lapor Al Jazeera, tentera udara Nigeria menerusi kenyataan memaklumkan pesawat latihan Super Mushshak terhempas di pangkalan tentera pada Selasa lalu sehingga mengorbankan dua juruterbang.
Jelas kenyataan itu, panglima tentera udara, Oladayo Amao telah menubuhkan jawatankuasa penyiasatan untuk mengenal pasti punca nahas pesawat itu.
Dilaporkan, anggota tentera dikerahkan di bahagian barat laut dan tengah Nigeria untuk bertempur dengan kumpulan bersenjata tempatan.
Kaduna menjadi sasaran serangan kumpulan bersenjata sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya empat pesawat tentera Nigeria terlibat dalam nahas sejak tahun lalu.
Ia termasuk satu kejadian pesawat terhempas yang mengorbankan panglima tentera negara itu dan 10 anggota yang lain.