NEW YORK: Pencakar langit paling nipis di dunia dilaporkan dibuka kepada pengunjung yang berhasrat untuk membeli kediaman di bangunan tersebut.
Bangunan kediaman 84 tingkat itu berlatarbelakangkan langit bandar New York.
Lapor Daily Mail, Menara Steinway terletak di kawasan 111 West 57th Street atau dijuluki Billionaires’ Row di pusat bandar Manhattan pada ketinggian kira-kira 435 meter.
Menara Steinway mempunyai nisbah ketinggian kepada lebar 24:1 sekaligus menjadikannya `pencakar langit paling nipis di dunia’ dan salah sebuah bangunan tertinggi di hemisfera Barat.
Bangunan yang menghadap pemandangan Central Park itu mempunyai sebanyak 60 kediaman mewah.
Harga pangsapuri berkenaan bermula pada AS$7.75 juta (RM32.7 juta) bagi unit studio.
Pangsapuri jenis Penthouse pula disenaraikan pada harga AS$66 juta (RM278.5 juta).
Menurut pihak pemaju, Menara Steinway direka bentuk secara luar biasa dengan menampilkan ciri-ciri yang menonjolkan kemegahan.
Bahagian timur dan barat bangunan itu menampilkan jubin terracotta dengan warna gangsa sepertimana digambarkan dalam imej dirakam jurugambar seni bina, Evan Joseph.
Pembinaan Menara Steinway bermula pada 2013 dan siap pada tahun lalu.