RIYADH: Sejuta makanan berbuka puasa diagihkan kepada jemaah di Masjidil Haram di Mekah sepanjang 10 hari pertama Ramadan.
Memetik laporan Saudi Press Agency, beberapa pertubuhan amal dan agensi kerajaan berganding bahu menyediakan makanan berbuka puasa untuk diedarkan kepada jemaah.
Menurut Ketua Jabatan Pekarangan di Masjidil Haram, Musa Muhammad Al-Kiyadi, seramai 100 pekerja ditugaskan memantau aktiviti berbuka puasa di pekarangan masjid itu.
Katanya, 8,000 pekerja ditugaskan untuk mengagihkan makanan berbuka puasa setiap hari.
Pek makanan berbuka puasa itu mengandungi air, buah kurma, jus, kek dan pastri.
Jelas Musa, sebanyak 10,000 iftar sofra (hamparan) yang setiap satunya sepanjang 12 meter, dibentangkan di pekarangan masjid.
“Iftar sofra itu diletakkan dengan kerjasama pihak berkuasa keselamatan dan mengambil kira laluan dan kapasiti dari segi kesesakan jemaah, kenderaan perkhidmatan dan skuter mobiliti,” katanya.
Kira-kira 67 pertubuhan amal terlibat dalam menyediakan makanan berbuka puasa itu.