NEW YORK: Satu letupan kuat menggegarkan Times Square di Manhattan sehingga menyebabkan berduyun-duyun pengunjung berlari ketakutan, Ahad lalu.
Rakaman video menunjukkan pejalan kaki berlari menyelamatkan diri masing-masing dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Rakaman video Earthcam dari Duffy Square menunjukkan orang ramai berhimpun di kawasan itu pada pukul 7 malam, sebelum mereka mula berlari bertempiaran.
Dataran itu menjadi lengang sebahagiannya selepas orang ramai menjadi panik beberapa saat selepas berlaku letupan di lubang pembentung.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran memberitahu kawasan itu, turut merasai gegaran di ‘seluruh apartmennya’
Namun, katanya, dia berasa lega selepas tiada sebarang insiden serius berlaku di kawasan itu.
“Saya sangat takut bila melihat seluruh apartmen bergegar. Saya berharap dapat mengetahui butiran lanjut mengenai letupan yang berlaku dua kali dalam dua tahun,” katanya.
Punca letupan lubang pembentung tidak didedahkan tetapi seorang pegawai bomba mendapati paras karbon monoksida yang tinggi di 229 West 43rd Street selepas letupan tersebut.
Difahamkan, paras tinggi gas yang tidak berbau dan tidak berwarna boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian yang berkemungkinan disebabkan oleh kebakaran lubang pembentung yang terperangkap.
Letupan itu menimbulkan kebimbangan ramai kerana New York menyaksikan lonjakan kes jenayah sejak permulaan wabak Covid-19.
Kes jenayah secara keseluruhan meningkat 44 peratus di seluruh bandar berbanding tahun lalu, dengan kes melibatkan mangsa tembakan meningkat 14.5 peratus.-AGENSI