TALLAHASSEE: Seorang lelaki dari Florida di Amerika Syarikat (AS) berjaya merampas semula Rekod Dunia Guinness selepas menonton filem terbaharu Spiderman di pawagam sebanyak 292 kali.
Lapor Daily Mail, Ramiro Alanis menghabiskan masa selama 720 jam iaitu bersamaan 30 hari penuh dengan menonton Spider-Man: No Way Home sepanjang tiga bulan lalu untuk mencipta rekod berkenaan.
Dia juga membelanjakan kira-kira AS$3,400 (RM14,439) untuk kos tiket filem di pawagam dalam mencipta rekod dunia itu.
Sebelum ini, Alanis meraih rekod dunia sama pada 2019 selepas menonton tayangan filem Avengers: Endgame sebanyak 191 kali.
Bagaimanapun, rekod itu diatasi oleh Arnaud Klein pada tahun lalu apabila menonton filem Kaamelott: First Instalment di pawagam sebanyak 204 kali.
Alanis menonton tayangan filem itu secara berturut-turut sehingga ia tidak lagi ditayangkan di pawagam.
“Pada beberapa minggu pertama, dia menonton lima tayangan Spider-Man: No Way Home setiap hari selama 12 jam dan 20 minit.
“Alanis perlu berada di tempat duduknya tanpa mengalihkan pandangan dari skrin atau terlibat dalam mana-mana aktiviti lain sepanjang filem itu ditayangkan bagi membolehkan setiap tontonan itu direkodkan,” jelas laporan itu.
Dia juga tidak dibenarkan melihat telefon bimbit atau berehat di bilik air semasa tayangan.
Alanis perlu menyerahkan tiket pawagam sebagai bukti serta kenyataan dari pihak pengurusan pawagam yang mengesahkan dia menonton filem itu sepanjang masa.