LONDON: Satu kajian dijalankan di Perancis mendakwa larangan pemakaian tudung di sekolah negara itu mempengaruhi gred peperiksaan pelajar beragama Islam.
Lapor Daily Mail, kajian tersebut mendedahkan pelajar perempuan beragama Islam mendapat gred peperiksaan lebih baik.
Kajian itu mendakwa ia meningkatkan kebarangkalian golongan tersebut akan berkahwin di luar agama mereka.
Undang-undang diperkenalkan pada 2014 melarang sepenuhnya pemakaian tudung di sekolah Perancis, namun sebelum itu satu notis pekeliling dikeluarkan pada 1994 meminta menyekat penggunaan `simbol agama’.
Kajian itu membandingkan dua kumpulan wanita beragama Islam yang dilahirkan antara 1971-1974 dan pada tahun 1987-1990.
Kajian tersebut menunjukkan kumpulan individu dilahirkan tahun 1971-1974 adalah kira-kira 13 peratus berkemungkinan lulus sekolah menengah berbanding rakan sebaya yang bukan Islam.
Bagi kumpulan wanita Islam dilahirkan pada 1987-1990 pula, jurang itu menyusut kepada hanya tujuh peratus.
“Bagi pelajar yang memakai tudung, larangan dikenakan itu mungkin memberi impak negatif kepada golongan tersebut kerana ia mungkin menyebabkan mereka berhenti sekolah.
“Tetapi larangan itu mungkin juga memberi kesan positif kepada pelajar yang memakai tudung dan pelajar yang mengalami diskriminasi di sekolah disebabkannya,” kata pengarang bersama kajian, Prof. Eric Maurin.
Kajian dijalankan oleh Maurin bersama pasukannya dibentangkan pada mesyuarat dasar tahunan ke-75 Perancis yang diadakan awal bulan ini.
Sementara itu, calon pilihan raya Presiden Perancis, Marine Le Pen sekali lagi berikrar untuk meneruskan larangan pemakaian tudung terhadap penduduk Islam.