NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dipercayai menyertai rancangan global untuk menyelewengkan berbilion dolar dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) atas matlamat ‘ketamakan dan bercita-cita tinggi’.
Pendakwa, Alixandra Smith semasa hujah penutup berkata, Ng juga berharap untuk menjadi rakan kongsi di Goldman Sachs Group Inc dengan membantu firma itu mengatur siri tawaran bon yang lumayan kepada 1MDB, dengan meminta berpuluh juta dolar sebagai sogokan.
“Walaupun defendan meraih pendapatan berjuta-juta dolar setahun sepanjang bekerja dengan Goldman Sachs, dia tetap mempunyai cita-cita besar untuk menjadi rakan kongsi daripada pengarah urusan.
“Paling penting dia mahu wang yang dijanjikan iaitu AS$35 juta (RM144 juta),” kata Smith.
Penggulungan hujah dalam kes perbicaraan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dituduh membantu merompak ratusan juta dolar daripada dana syarikat 1MDB itu bermula semalam di mahkamah New York, Amerika Syarikat.
Ng yang berusia 49 tahun dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB apabila Goldman mengatur tiga perjanjian bon untuk dana itu pada 2012 dan 2013.
Ng didakwa atas dua tuduhan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan satu tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berkemungkinan dipenjarakan selama beberapa dekad.
Dalam pada itu, Smith menunjukkan kepada juri carta dengan wajah sembilan individu yang didakwa berkomplot dengan Ng, termasuk Leissner dan isteri mereka, serta kakitangan 1MDB yang dikatakan mendapat sogokan.
Beliau berkata, carta itu menunjukkan bagaimana tindak-tanduk Ng ‘dikoordinasi’ dengan individu lain yang menggunakan akaun bank luar pesisir dan akaun e-mel palsu untuk menyembunyikan rancangan itu.
“Defendan mahu anda percaya bahawa dia terbabit secara tidak sengaja, iaitu satu-satunya individu yang tidak tahu apa yang sedang berlaku.
“Namun semua keterangan menjelaskan semua yang dilakukan oleh defendan adalah selaras dengan tindakan semua individu yang berkomplot,” tegasnya.-BLOOMBERG