JAKARTA: Jabatan Kesihatan Jakarta bercadang untuk melaksanakan program suntikan dos penggalak atau booster di sejumlah masjid pada waktu malam selepas solat tarawih selesai dilakukan.
Jurucakap jabatan itu, Widyastuti berkata, pihaknya sudah berkoordinasi dengan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Dewan Masjid Indonesia untuk melaksanakan program tersebut.
Katanya, langkah itu boleh dilakukan untuk meningkatkan kadar penerimaan suntikan dos penggalak dalam kalangan penduduk di bandar raya ini.
“Capaian dos penggalak masih rendah di Jakarta dengan jumlah semasa baru mencecah tiga juta orang sudah menerima suntikan tersebut.
“Sehubungan itu, kita perlu mengambil pendekatan yang lebih berkesan bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima dos penggalak, sekali gus meningkatkan imuniti berkelompok bagi menentang Covid-19,” katanya seperti yang dilapor Detik News.
Selain itu, Widyastuti memaklumkan, suntikan dos penggalak masih belum diwajibkan oleh kerajaan, namun bagi sesetengah perkara, suntikan itu diperlukan, termasuk pulang beraya ke kampung halaman.
Jelasnya, jabatan kesihatan turut mempertimbangkan untuk membuka kiosk pemberian dos penggalak di terminal atau stesen pengangkutan.
“Kami akan meneliti perkara tersebut kerana ketika ini, masyarakat belum pulang ke kampung, mungkin menjelang Aidilfitri kita akan buka kiosk dos penggalak di terminal pengangkutan,” ujarnya.