TEHERAN: Tentera Iran akan ‘mengajar Israel habis-habisan’ sekiranya mereka terus menindas umat Islam, terutamanya rakyat Palestin.
Presiden Iran, Ebrahim Raisi berkata, rejim Zionis seharusnya sedar apa akibat yang bakal mereka terima jika menentang umat Islam.
“Angkatan tentera kami akan menembak tepat ke jantung tentera Zionis sehingga mereka hancur.
“Jangan sesekali mencetuskan kemarahan negara Islam kerana anda tidak akan tahu apa akibatnya,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Tentera Kebangsaan Iran yang berlangsung semalam.
Konflik antara rakyat Palestin dan Israel semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu dan memuncak apabila pasukan keselamatan Zionis menyerbu Masjid al-Aqsa.
Polis Zionis turut menyerang rakyat Palestin yang beribadat di masjid tersebut dengan melepaskan peluru getah.
Tindakan itu mencetuskan rusuhan antara polis Israel dengan penduduk Palestin, menyaksikan lebih 150 orang cedera.
Insiden itu mendapat perhatian meluas daripada semua negara Islam yang kebanyakannya mengutuk tindakan Zionis.
Hamas sebelum ini turut memberi amaran bahawa Zionis tidak berhak untuk menyekat rakyat Palestin dan umat Islam untuk beribadat di Masjid al-Aqsa.
“Al-Aqsa adalah milik rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia, jadi jangan halang kami.
“Apa hak anda (Zionis) untuk menyekat kemasukan umat Islam ke al-Aqsa?” kata pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.