Hampir 60 maut banjir di Afrika Selatan - Utusan Malaysia

Hampir 60 maut banjir di Afrika Selatan

LORI tangki yang membawa muatan bahan api terdampar di laut selepas tercampak dari jalan raya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DURBAN: Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat melanda bandar pelabuhan Durban dan sekitar kawasan di wilayah KwaZulu-Natal di Afrika Selatan, dilaporkan semakin meningkat.

Kerajaan wilayah menerusi kenyataan mengesahkan sekurang-kurangnya 59 orang maut dalam kejadian tersebut. 

“Ramai mangsa terkorban secara tragis, dengan sekurang-kurangnya 45 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh di Ethekwini (metro Durban) manakala lebih 14 lagi kes kematian dilaporkan di daerah iLembe,” jelas kenyataan.

Menurut kenyataan itu, bencana tersebut mencetuskan kerosakan besar kepada nyawa dan infrastruktur yang menjejaskan semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah tragedi kuasa alam semula jadi dan situasi ini memerlukan pelan tindak balas berkesan oleh kerajaan,” kata Presiden Cyril Ramaphosa.

Ketua Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Moussa Faki Mahamat menerusi ciapan di Twitter mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. 

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu membanjiri sebahagian besar kawasan sehingga merosakkan kediaman penduduk dan infrastruktur di seluruh bandar tenggara itu.

Kejadian tanah runtuh juga memaksa perkhidmatan kereta api dihentikan.

Banjir juga menjejaskan beberapa jambatan dan menenggelamkan sejumlah kenderaan serta merobohkan rumah penduduk. 

Sebuah lori tangki yang membawa muatan bahan api terdampar di laut selepas tercampak dari jalan raya.

Sementara itu, Agensi pengurusan bencana di wilayah KwaZulu-Natal menggesa orang ramai untuk kekal berada di rumah dan mengarahkan mereka yang tinggal di kawasan rendah untuk segera berpindah ke tempat lebih tinggi.

Ketua Menteri Wilayah, Sihle Zikalala berkata, lebih 2,000 rumah dan 4,000 penempatan sementara atau pondok terjejas teruk dalam kejadian itu. 

Katanya, operasi menyelamat yang dibantu oleh tentera sedang memindahkan mangsa terperangkap di kawasan terjejas. – AFP  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya