GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengikut telunjuk Amerika Syarikat (AS) untuk menggantung keanggotaan Rusia dalam Majlis Hak Asasi Manusia.
AS sebelum ini mencadangkan kepada PBB untuk menyingkirkan Rusia susulan kekejaman yang berlaku di Ukraine sehingga mencetuskan gelombang kebencian antarabangsa terhadap Moscow.
Teguran diplomatik itu muncul ketika negara G7, Kesatuan Eropah (EU) dan Washington mengetatkan sekatan ekonomi di Moscow, serta ditambah kemunculan imej mayat mengerikan di bandar Bucha dan Mariupol.
“Pembohongan Rusia tidak sepadan dengan bukti yang tidak dapat dinafikan mengenai apa yang berlaku di Ukraine.
“Tanda-tanda rakyat Ukraine dirogol, diseksa, dibunuh dan mayat dicemari adalah kemuncak kemarahan masyarakat antarabangsa,” kata Presiden AS, Joe Biden.
Kremlin juga dituduh menyasarkan serangan di kawasan awam dengan 26 lagi mayat daripada runtuhan dua bangunan pangsapuri yang musnah di Borodianka, dekat Kyiv.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut memberi amaran kemusnahan di Borodianka adalah ‘jauh lebih mengerikan’ berbanding di Bucha.
Moscow bagaimanapun menolak penggantungan tersebut yang dianggap sebagai ‘tidak sah dan bermotifkan politik’ ketika sesi pengundian dalam Perhimpunan Agung PBB.
Sebelum ini, Perhimpunan Agung PBB memperoleh sokongan majoriti besar terhadap resolusi menuntut Rusia menghentikan peperangan di Ukraine serta-merta dan menyalahkan Moscow atas krisis kemanusiaan yang tercetus di negara itu.
RUSIA TERUS DIBOIKOT
Ketika Washington berusaha meningkatkan sekatan ekonomi terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin, Kongres AS di bangunan Capitol melakukan undian Khamis lalu, bagi menamatkan hubungan perdagangan dengan Moscow.
EU turut meluluskan sekatan ke atas arang batu Rusia, manakala, negara perindustrian G7 mengharamkan pelaburan baharu dalam sektor utama ekonomi Moscow berikutan insiden kekejaman mengerikan yang cuba dipertonton kepada dunia.
Sementara itu, usaha untuk menamatkan peperangan kian buntu selepas Moscow menuduh Kyiv mengubah tuntutannya sejak rundingan bersemuka bulan lalu.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, draf perjanjian yang dibentangkan oleh Ukraine mencadangkan negara itu tidak berminat menghentikan pertempuran.
Penasihat Presiden Ukraine, Mykhaylo Podolyak membalas kenyataan itu dengan menjelaskan sekiranya Moscow menunjukkan kesediaan untuk berunding, negara itu sepatutnya merendahkan tahap permusuhan.
PELARIAN BERTAMBAH
Lebih 11 juta penduduk Ukraine menjadi pelarian sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke negara itu pada 24 Februari lalu.
Moscow dipercayai cuba mewujudkan hubungan darat antara Crimea yang diduduki dan Luhansk yang dikawal oleh puak pemisah dan wilayah Donetsk.
Sekutu Barat menghantar dana dan bekalan senjata ke Ukraine, namun, Menteri Luar Ukraine merayu bekalan senjata berat disalurkan termasuk sistem pertahanan udara, kenderaan berperisai dan jet.
Kyiv melahirkan kebimbangan sekiranya bantuan tiba terlalu lewat akan menyebabkan lebih ramai penduduk akan mati, kehilangan tempat tinggal dan banyak kampung musnah. – AFP