NEW YORK: Pihak berkuasa menawarkan ganjaran sebanyak AS$50,000 (RM211,387) sekiranya suspek yang melepaskan tembakan di stesen kereta api bawah tanah Brooklyn, Selasa lalu, berjaya diberkas.
Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya bersama Kesatuan Sekerja Pengangkutan, Local 100 masing-masing menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah AS$12,500 (RM52,845).
Yayasan Polis New York pula memberikan AS$25,000 (RM105,693) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran adalah AS$50,000.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Janno Lieber berkata, pihaknya berusaha melakukan perkara terbaik untuk menangkap lelaki yang bertanggungjawab melancarkan serangan keji terhadap penumpang pengangkutan awam.
“Penduduk New York tahu jika mereka terlihat sesuatu mereka perlu beritahu terutamanya dalam kes ini. Keadilan mesti ditegakkan,” katanya.
Bagi Presiden Local 100, Tony Utano, keutamaan penumpang adalah untuk sentiasa berasa selamat.
“Kami tidak hanya masuk dan keluar bekerja, tetapi menghabiskan seluruh syif di sana setiap hari dan malam. Suspek perlu ditangkap segera,” tegasnya.
Amerika Syarikat dikejutkan dengan satu lagi serangan keganasan selepas seorang lelaki melepaskan 33 das tembakan di stesen kereta api bawah tanah Brooklyn, kira-kira pukul 8.30 pagi, kelmarin.
Dalam kejadian itu, seramai 29 penumpang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital.
Jabatan Polis New York memaklumkan seorang penjenayah lelaki memakai topeng gas dan menyamar sebagai pekerja pembinaan dengan memakai jaket berwarna jingga serta topi keledar hijau berjaya meloloskan dir selepas melancarkan serangan.