SAN FRANCISCO: Seramai enam orang terbunuh dan 12 cedera dengan ada di antaranya parah dalam satu insiden tembakan di Sacramento pada awal pagi semalam.
Ketua Polis Sacramento, Kathy Lester berkata, pada kukul 2 pagi waktu tempatan, satu ‘pergaduhan besar’ berlaku di sebuah kawasan sebelum insiden berbalas tembakan berlaku.
Anggota polis yang berkawal di lokasi berhampiran terdengar bunyi tembakan itu dan ternampak sejumlah penduduk melarikan diri.
Ketika tiba di lokasi kejadian, pasukan polis dikejutkan dengan sejumlah mangsa mengalami luka tembakan dengan di antaranya sudah meninggal dunia.
Pasukan paramedik juga dilaporkan cuba memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa tembakan, namun enam daripadanya disahkan mati di lokasi kejadian.
“12 lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi satu sidang akhbar, Datuk Bandar Sacramento, Darrell Steinberg memaklumkan ada mangsa yang dimasukkan ke hospital mengalami kecederaan parah dan kritikal.
Selain itu, polis memaklumkan sepucuk pistol yang dipercayai dicuri ditemukan di lokasi kejadian dan siasatan masih diteruskan. – AFP