Emmanuel Macron diharap dapat bela nasib Islam di Perancis

Emmanuel Macron diharap dapat bela nasib Islam di Perancis

EMMANUEL Macron memegang tangan isterinya, Brigitte selepas beliau diumumkan sebagai Presiden Perancis di Champ de Mars, Paris.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Kejayaan Emmanuel Macron mengekalkan kerusi Presiden bagi penggal baharu diharap memberikan sinar kepada nasib komuniti Islam di Perancis. 

Macron yang merupakan Presiden Perancis pertama memenangi Pilihan Raya Presiden 2022 bagi penggal kedua dalam tempoh dua dekad, juga diharap dapat membaiki persepsi masyarakat Islam terhadap Perancis.  

Macron meraih 58 peratus undian pada pusingan kedua pilihan raya berbanding pencabarnya dari parti Barisan Nasional Sayap Kanan, Marine Le Pen dengan 42 peratus undian. 

Pemimpin dari parti Republik itu menghadapi cabaran untuk meraih majoriti selesa menjelang Pilihan Raya Parlimen Jun nanti, sekali gus merealisasikan cita-citanya mereformasikan Perancis.

Semasa menyampaikan ucapan kemenangan di Champ de Mars di tengah bandar raya Paris, Macron, 44, berikrar akan mengenal pasti punca kemarahan segelintir pengundi sehingga beralih arah menyokong pesaingnya. 

Beliau menjanjikan corak baharu untuk mentadbir Perancis dengan mengekalkan prinsip pentadbirannya sejak lima tahun lalu.   

Sementara, Le Pen, 53, menerima keputusan pemilihan itu dan menyatakan belia ‘tidak akan meninggalkan Perancis’ serta sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum pada Jun depan.

“Keputusan ini menunjukkan persaingan yang cemerlang. Kami akan lancarkan saingan lebih hebat untuk pilihan raya umum nanti,” katanya.

Dalam pada itu, jurang kemenangan Macron kali ini dilihat lebih kecil berbanding saingan pusingan kedua pada 2017, apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu pada pusingan kedua, dengan Macron ketika itu memperoleh lebih 66 peratus undi.

Badan pengundian menganggarkan peratusan keluar mengundi hanya 72 peratus sekali gus mencatatkan peratusan paling rendah dalam semua pusingan kedua pilihan raya presiden sejak 1969.

Dalam pada itu, ratusan penunjuk perasaan dari kumpulan ultra-kiri turun ke jalanan di beberapa bandar di Perancis bagi membantah pemilihan semula Macron. 

Pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan di Paris dan bandar barat Rennes.-AFP 

 

REAKSI PEMIMPIN DUNIA 

“SAYA berbesar hati dapat meneruskan kerjasama cemerlang dengan Macron.” 

URSULA VON DER LEYEN 

Presiden Suruhanjaya Eropah 

 

“PERANCIS adalah sekutu lama dan rakan kongsi utama dalam berdepan cabaran global. Saya harap dapat meneruskan kerjasama rapat termasuk sokongan terhadap Ukraine, mempertahankan demokrasi dan mengatasi cabaran perubahan iklim.” 

JOE BIDEN 

Presiden Amerika Syarikat 

 

“SAYA harap dapat meneruskan usahasama bagi menangani isu paling penting kepada kedua-dua negara dan dunia.”

BORIS JOHNSON 

Perdana Menteri Britain 

 

“SEMOGA beliau terus berjaya demi rakyat Perancis. Saya sangat menghargai sokongannya dan yakin kita akan bergerak ke arah kemenangan bersama baharu.” 

VOLODYMYR ZELENSKY 

Presiden Ukraine 

 

“PENGUNDI telah membuat pilihan yang kuat dan memilih nilai kepastian dan pencerahan.” 

ALEXANDER DE CROO 

Perdana Menteri Belgium 

 

“INI adalah berita baik buat seluruh warga Eropah.”

MARIO DRAGHI 

Perdana Menteri Itali 

 

“TIDAK sabar untuk meneruskan kerja bersama dalam isu melibatkan kepetingan rakyat Kanada dan Perancis.

“Ini termasuk mempertahankan demokrasi, memerangi perubahan iklim, menyediakan peluang pekerjaan lebih baik dan menjamin pertumbuhan ekonomi bagi kelas pertengahan. 

JUSTIN TRUDEAU 

Perdana Menteri Kanada

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya