NEW YORK: Bilionair yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk memeterai perjanjian untuk membeli Twitter Inc dengan bayaran tunai sebanyak AS$44 bilion (RM191.5 bilion), sekali gus bakal menyaksikan pertukaran pemilikan platfrom media sosial itu.
Musk sebelum ini yang menyifatkan dirinya sebagai pendukung kebebasan berucap, mengkritik pendekatan Twitter dan berkata bahawa algoritma yang mengutamakan ciapan tertentu harus berupaya diakses oleh orang ramai, selain menyelar peruntukan kuasa berlebihan terhadap syarikat yang melanggan perkhidmatan pengiklanan.
Transaksi pembelian Twitter itu diluluskan pihak lembaga dan kini tertakluk kepada undian dalam kalangan pemegang saham. Penganalisis menjangkakan bahawa tiada kekangan berhubung aspek kawal selia selepas ini.
Perbincangan berhubung perjanjian jual beli itu dilakukan pada minggu lalu dan dilihat tidak menentu, namun prosesnya dipercepatkan selepas Musk ‘memikat’ pemegang saham menerusi butiran kewangan di sebalik penawarannya.
Berdepan tekanan, Twitter mula mengadakan rundingan dengan Musk yang ingin membeli syarikat berkenaan pada kadar harga AS$54.20 (RM235.82) bagi setiap unit saham.
“Kebebasan berucap adalah asas utuh demokrasi dan Twitter adalah wadah digital yang menyaksikan perkara penting mengenai masa depan kemanusiaan sering diperdebatkan,” kata Musk dalam kenyataan.
Saham Twitter melonjak 5.7 peratus semalam, menghampiri paras AS$51.70 (RM225). Perjanjian itu mewakili hampir 40 peratus premium harga dagangan ditutup, iaitu sehari selepas Musk mendedahkan butiran pembelian sembilan peratus pegangan Twitter.
Bagaimanapun, tawaran itu di bawah paras AS$70 (RM304.57) yang didagangkan Twitter pada tahun lalu. – REUTERS