CALIFORNIA: Harga melambung naik, bau busuk dan alat tunggangan rosak antara masalah yang dihadapi oleh pengunjung taman tema terkenal di dunia, Disneyland di bandar ini.
Lapor Metro, pengalaman buruk itu sudah tentu mendatangkan kekecewaan dalam kalangan pengunjung sehingga mereka menyalurkan aduan di internet.
“Pernah datang ke sini sejak kecil tetapi saya tidak dapat lupakan pengalaman tercium bau busuk di seluruh taman tema itu.
“Bau seperti sampah sarap dan loji kumbahan. Dari Disneyland ke California Adventure saya terbau busuk sepanjang 12 jam berada di sana,” kata seorang pengunjung.
Lebih 100 orang memuat naik komen yang mengalami pengalaman tidak menyeronokkan dan majoriti bersetuju menghadapi masalah bau tidak menyenangkan.
Bau busuk itu berkemungkinan disebabkan penutupan sementara Disneyland semasa wabak Covid-19.
“Saya fikir sudah hilang akal selepas beberapa kali terhidu bau kumbahan di pelbagai lokasi di Fantasyland,” kata pengguna lain.
Selepas dibuka semula tahun lalu, semua taman di Disneyland mengalami perubahan besar akibat banyak permainan mengalami kerosakan.
Projek pembinaan baharu itu menyebabkan tunggangan Pirates of the Caribbean di tepi sungai akan ditutup sementara.
Pengunjung juga meluahkan kekesalan selepas harga makanan di restoran Blue Bayou di sebelah tunggangan itu terlalu mahal.
Masalah lain turut melibatkan pengunjung terpaksa menunggu giliran yang panjang disebabkan aplikasi berbayar baharu, Genie Plus serta kesukaran membuat tempahan di restoran.