COPENHAGEN: Denmark akan berhenti memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat secara menyeluruh berikutan negara itu berada dalam `kedudukan baik’ menangani virus tersebut.
Lapor Daily Mail, Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark memaklumkan keadaan pandemik di negara itu kini terkawal.
Denmark menarik balik semua sekatan Covid-19 Februari lalu, selepas mendakwa varian Omicron tidak lagi `mengancam masyarakat’ dan menyatakan vaksin terbukti menjadi senjata berkesan.
Pengarah Jabatan Penyakit Berjangkit, Bolette Soborg berkata, pihaknya akan menangguhkan kempen vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan secara besar-besaran.
Katanya, program vaksinasi itu bakal dihentikan 15 Mei ini dan dijangka disambung semula selepas musim panas.
“Sebelum itu, satu penilaian profesional yang menyeluruh akan dilaksanakan. Ia antara lain berkaitan golongan penerima, masa pemberian suntikan dan vaksin bersesuaian,” katanya.
Kira-kira 81 peratus daripada 5.8 juta penduduk Denmark sudah menerima dua dos vaksin, manakala 61.6 peratus menerima dos penggalak.
Minggu lalu, Denmark mencetuskan kontroversi apabila negara itu menolak untuk memberikan vaksin AstraZeneca kepada rakyatnya.
Denmark turut menggesa negara-negara lain mengikut langkah sama.
Sweden dan Belanda turut menolak suntikan vaksin AstraZeneca selepas bimbang mengenai masalah darah beku dalam kalangan segelintir penduduk.
Pihak berkuasa kesihatan di Denmark mempercepatkan vaksinasi November tahun lalu berikutan lonjakan dalam kes varian Omicron.
Negara itu juga menawarkan dos penggalak keempat kepada rakyatnya bermula pertengahan Januari sebelum bertindak menarik balik semua sekatan Covid-19.
* FASA PANDEMIK AS SUDAH BERAKHIR
Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci memaklumkan negara itu kini sudah `keluar daripada fasa pandemik Covid-19′ ketika kes jangkitan dan jumlah kemasukan pesakit ke hospital menunjukkan penurunan.
Penasihat utama pandemik AS turut mengesahkan kes jangkitan Covid-19 di AS kini berada pada tahap yang rendah.
Bagaimanapun, Fauci memberi amaran virus itu tidak boleh dihapuskan sepenuhnya dan program vaksinasi jangka panjang mungkin perlu diteruskan setiap tahun.
Dalam pada itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit memaklumkan hampir 60 peratus warga AS dijangkiti Covid-19.
Namun, pegawai menegaskan data tersebut tidak bermakna warga AS mempunyai imuniti terhadap virus itu kerana jangkitan sebelumnya.
* EU BERALIH DARIPADA MOD KECEMASAN
Pegawai Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan 27 negara blok itu perlu terus fokus pada vaksinasi, ujian saringan dan pengawasan ketika keluar daripada fasa pandemik Covid-19.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, EU sedang memasuki fasa peralihan ketika beralih daripada mod kecemasan kepada pengurusan Covid-19 yang lebih mampan.
“Kita perlu meningkatkan lagi vaksinasi, dos penggalak, ujian bersasar dan perlu terus menyelaraskan maklum balas dengan rapat dalam kalangan negara EU,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, negara blok itu juga harus memanfaatkan kadar jangkitan semasa yang rendah untuk mengukuhkan lagi pengawasan, sistem penjagaan kesihatan dan persediaan sekiranya berlaku gelombang baharu jangkitan virus pada musim luruh. – AGENSI