BEIJING: Sekumpulan pakar warga China sedang membangunkan teknologi pesawat hipersonik yang mampu melakukan perjalanan dari Shanghai ke New York hanya dalam masa dua jam.
Memetik laporan CNN, firma Space Transportation (Lingkong Tianxing) sedang membina pesawat itu di China.
Kumpulan pakar bertekad membina pesawat penumpang dengan kelajuan 1.6 kilometer persaat (km/s) iaitu hampir dua kali ganda kelajuan pesawat Concorde.
Space Transportation mengeluarkan sebuah video animasi dalam laman sesawang rasminya yang memaparkan beberapa penumpang tanpa sut penerbangan khas, menaiki pesawat 12 tempat duduk itu.
Pesawat itu akan digerakkan oleh dua roket penggalak.
Dilaporkan, pesawat itu akan dilancarkan secara menegak ke langit.
“Sebaik sahaja pesawat itu mencapai altitud jelajah yang ditetapkan, ia akan berlepas dari roket penggalak dan terbang pada kelajuan 7,000 km/j.
“Pesawat ini kemudian akan mendarat di destinasinya secara menegak dengan bantuan pengangkutan jenis tripod,” jelas laporan itu.
Berdasarkan laman sesawang Space Transportation, firma itu menyasarkan pelancaran ujian penerbangan pertama pada 2025.
“Firma itu juga menyasarkan untuk menjadi penerbangan pesawat hipersonik global beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.
“Ini juga akan menjadi sebahagian pelancongan angkasa lepas suborbit,” jelas laporan itu.