WASHINGTON: Sekumpulan penyelidik memaklumkan kolam air masin bawah tanah mungkin menjadi perkara biasa di bulan Europa Musytari.
Tapak berkenaan dipercayai boleh menjadi lokasi untuk mencari tanda-tanda kehidupan di sana.
Europa antara kelompok empat bulan paling besar mengorbit mengelilingi planet Musytari.
Lapor The Guardian, bukti kewujudan kolam cetek itu muncul apabila saintis menyedari rabung selari gergasi membentang sejauh ratusan kilometer di Europa.
Malah, menurut kumpulan penyelidik, ciri permukaannya serupa dengan yang ditemukan pada lembaran ais Greenland.
Pakar Geofizik di Universiti Stanford, Prof. Madya Dustin Schroeder berkata, ia secara tidak langsung menunjukkan cecair bawah tanah itu mungkin mengandungi bahan-bahan organik.
“Jika rabung ais yang luas merentasi Europa terbentuk cara yang sama seperti di Greenland, maka kolam air bawah tanah mungkin terdapat di mana-mana badan dan membantu mengedarkan bahan kimia
diperlukan untuk kehidupan.
“Cecair berhampiran permukaan ais adalah lokasi yang provokatif dan menjanjikan untuk mencari tanda-tanda kehidupan,” katanya.
Bulan Europa menjadi pesaing utama dalam misi pencarian kehidupan selain di Bumi selepas pemerhatian menerusi teleskop di darat dan kenderaan angkasa lepas menemukan bukti lautan sedalam 16,090 hingga 24,135 meter di bawah permukaan ais.
Lautan Europa dianggarkan sedalam 64,360 hingga 160,900 meter.
Misi Europa Clipper dijangka berlepas pada Oktober 2024.
Misi itu bertujuan mengkaji sama ada bulan Europa boleh menjadi tempat sesuai untuk dijadikan penempatan manusia.