TOKYO: Pasukan penyelamat semalam memaklumkan 10 daripada 26 mangsa bot karam di pantai utara Jepun, ditemukan maut, manakala 16 lagi hilang.
Menerusi kenyataan, pasukan pengawal pantai negara ini memaklumkan, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan sembilan penumpang bot berkenaan, namun kesemuanya tidak memberi tindak balas ketika ditemukan.
Sehubungan itu, keadaan sebenar mangsa tidak dapat dipastikan dan mereka dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.
Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk mengesan baki mangsa yang hilang.
Ketika kejadian, bot persiaran yang dinaiki 24 penumpang dan dua kru itu dilaporkan dimasuki air menyebabkannya tenggelam.
Keadaan itu menyebabkan kru bot menghantar isyarat kecemasan dan meminta bantuan dihantar segera.
Pasukan pengawal pantai kemudiannya mengerahkan tujuh bot penyelamat dan lima pesawat bagi melakukan operasi SAR, malah turut disertai kumpulan nelayan tempatan.
Ketika kejadian, bos berkenaan berada di kawasan Semenanjung Shiretoko yang diiktiraf sebagai tapak UNESCO pada 2005.
Kawasan rekreasi itu kaya dengan hidupan liar, termasuk spesies haiwan terancam.
Selain itu, keadaan di sekitar lokasi kejadian dilaporkan ‘sukar’ apabila laut bergelora, angin kencang dan suhu air yang sejuk.
Pada Jun tahun lalu, bot yang diberi nama Kazu I itu terkandas di kawasan beting pasir sambil membawa 21 penumpang dan dua kru.
Beberapa jam selepas itu, bot berkenaan berjaya berlayar semula dan pihak berkuasa melakukan siasatan. – AFP