WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadualkan bertemu dengan pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada pertengahan Mei.
Pertemuan itu kemungkinan memberi tumpuan pada meningkatnya kekuatan China di rantau terbabit, umum White House semalam.
Sidang kemuncak itu, yang pada awalnya dijadual diadakan pada Mac “akan menunjukkan komitmen Amerika Syarikat terhadap ASEAN,” kata setiausaha akhbar White House, Jen Psaki dalam satu kenyataan.
“Menjadi keutamaan pentadbiran Biden-Harris untuk menjadi rakan kongsi yang kuat dan dipercayai di Asia Tenggara,” kata kenyataan itu.
Sidang kemuncak itu pada mulanya dijadualkan pada 28 dan 29 Mac sebelum ditunda tanpa sebarang tarikh baru diumumkan.
Ia kini akan berlangsung pada 12 dan 13 Mei.
Pertemuan itu ditunda di tengah-tengah laporan mengenai jadual kerja pemimpin beberapa negara ASEAN dan disebabkan krisis Ukraine yang berlarutan.
Sejak sekian lama, AS menyatakan menjadi keutamaan dasar luar negara itu untuk memperkukuhkan hubungannya dengan Asia.
Pada 29 Mac, Biden mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di White House.
Dalam pertemuan itu Biden berkata, beliau ingin memastikan bahawa rantau Asia Tenggara kekal ‘bebas dan terbuka’, sebagai merujuk kepada apa yang dilihat AS sebagai percubaan China untuk menguasai laluan perdagangan antarabangsa terbabit.
Biden juga mengambil bahagian dalam sidang kemuncak secara maya dengan pemimpin ASEAN pada Oktober lalu.
Dalam sidang kemuncak itu, Biden mengumumkan inisiatif untuk memperluas pembabitan AS dengan ASEAN mengenai COVID-19, perubahan iklim, pertumbuhan ekonomi, dan banyak lagi.
Kenyataan AS semalam tidak menjelaskan sama ada pemimpin Myanmar akan hadir dalam sidang kemuncak itu.
Pentadbiran Biden sebelum ini menuduh pemimpin tentera negara itu melakukan penghaspusan etnik terhadap Rohingya. – AFP