MONTREAL: Seorang bekas tahanan penjara Guantanamo yang menghabiskan hidup 14 tahun tanpa diberikan peluang dibicarakan memfailkan saman terhadap Kanada kerana mendakwa negara itu ‘memainkan peranan penting’ dalam penahanannya.
Mohamedou Ould Slahi, 51, mendakwa, pihak berkuasa Kanada memberikan maklumat palsu mengenai tempoh dirinya menjadi pemaustautin di montreal pada 1999.
Perkara itu menyebabkan dia ditahan dan dihantar ke Guantanamo.
Menerusi aduan yang difailkannya, Mohamedou menuntut 35 juta dolar Kanada (RM119.09 juta) sebagai ganti rugi terhadap penderitaan yang dialaminya.
Dalam tuntutan tersebut, Mohamedoum memberitahu, dia berdepan pukulan fizikal, kurang tidur, dipaksa berdiri, dipaksa mendengar bunyi bising berterusan, serangan seksual, pembunuhan olok-olok, ancaman bunuh dan penghinaan agama semasa berada di Guantanamo.
Susulan serangan 11 September di AS, Mohamedou disyaki terbabit dalam rancangan untuk mengebom Los Angeles pada 1999, namun gagal.
Mohamedou ditangkap pada 2001 di Mauritania, kemudian dipenjarakan berturut-turut di Jordan dan Afghanistan, sebelum tiba di Guantanamo pada 2002 sebelum dibebaskan pada 2016. – AFP