LONDON: Demi anak, seorang bapa sanggup membina sarkofagus atau keranda bersaiz sebenar yang dilengkapi mumia Firaun di dalamnya dengan kos 250 pound (RM1,378).
Lapor Daily Mail, Richard Brigg, 47, yang bekerja sebagai seorang jurutera meluangkan masa membina projek kraf sekolah anaknya mengenai Tamadun Mesir Purba.
Brigg membina sarkofagus yang merupakan keranda menyimpan mayat pada era Mesir Purba bagi sesi pembelajaran kelas tahun tiga untuk anaknya, Alexander, 7.
Brigg menghasilkan sarkofagus bersaiz sebenar yang luar biasa menggunakan papan buih, polisterin dan papier-mache dalam masa sebulan.
Lelaki berusia 47 tahun itu merupakan seorang peminat sejarah dan menggunakan sarkofagus Tutankhamun bagi mendapatkan inspirasi untuk menjadikannya lebih tepat dari segi sejarah.
Selain itu, Brigg turut mendapat ilham untuk menghasilkan replika mumia Firaun bagi menjadikan projek itu ‘lebih hidup’.
Replika itu mendapat sambutan hebat dalam kalangan rakan sekelas Alexander dan gurunya di Sekolah Rendah Moorside, Lancaster, Lancashire.
“Saya pernah menghasilkan barangan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru, jadi guru kelas bertanya kepada saya mengenai replika itu.
“Ia adalah satu cabaran dan saya rasa boleh mencubanya. Saya berjaya menciptanya dalam masa beberapa minggu,” kata Brigg.
Brigg memaklumkan, murid-murid sekolah begitu teruja dengan replika itu semasa ibu bapa dijemput masuk ke sekolah sempena hari muzium.
“Replika ini juga mendapat perhatian daripada kanak-kanak sekolah bersebelahan yang lalu lalang ketika kami membawanya ke kereta.
“Saya sangat gembira kerana hasilnya di luar jangkaan. Saya pasti akan melakukan sesuatu seperti ini sekali lagi,” jelasnya.