DURBAN: Angka kematian akibat banjir di wilayah KwaZulu-Natal di Afrika Selatan mencecah lebih 300 orang, selepas bencana itu mencetuskan keadaan huru-hara di kawasan tersebut.
Lapor BBC, pihak berkuasa tempatan menggesa agar darurat bencana diisytiharkan selepas menyaksikan beberapa kawasan dilanda hujan paling lebat dalam sehari.
“Kami menerima maklumat angka kematian akibat banjir di wilayah KwaZulu-Natal sudah meningkat kepada 306 mangsa,” kata jurucakap jabatan pengurusan bencana wilayah Nonala Ndlovu kepada AFP.
Pegawai menyifatkannya sebagai cuaca ribut paling buruk dalam rekod Afrika Selatan.
Beberapa kejadian tanah runtuh akibat banjir menyebabkan mangsa terperangkap di bawah bangunan dan dijangka lebih banyak banjir akan berlaku.
Media melaporkan usaha menyelamat terjejas disebabkan jarak penglihatan yang terhad ketika helikopter giat memindahkan mangsa ke tempat yang selamat.
Seorang wartawan BBC menyaksikan operasi menyelamat kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang merupakan anak kepada mangsa banjir akibat runtuhan jambatan.
Sementara itu, Presiden Cyril Ramaphosa menggambarkan banjir melanda negara itu sebagai ‘bencana’ dan ‘malapetaka’.
“Jambatan dan jalan raya runtuh, penduduk terkorban. Ini adalah malapetaka yang besar,” katanya ketika berucap kepada penduduk setempat selepas meninjau kerosakan akibat banjir di kawasan tersebut. – AGENSI/AFP