BEIJING: Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan lima orang dari sebuah bangunan enam tingkat yang runtuh di bandar Changsa, China.
Pasukan keselamatan berusaha mencari mangsa yang terselamat di bawah serpihan runtuhan bangunan yang menempatkan sebuah pawagam dan rumah tamu.
Pihak berkuasa masih belum mendedahkan jumlah mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini namun majlis perbandaran Changsa menyatakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih sedang dijalankan.
Seorang pegawai kanan kerajaan telah dihantar ke lokasi kejadian.
“Wang Yong telah dihantar untuk mengetuai dan membimbing pasukan yang akan melakukan kerja-kerja penyelamat,” jelas satu kenyataan.
Beberapa gambar yang disiarkan media menunjukkan pagar renyuk dan timbunan runtuhan di tapak bangunan itu pernah berdiri.
Rakaman media turut menunjukkan pasukan penyelamat membawa seorang mangsa ke dalam ambulans dan berkomunikasi dengan individu yang masih terperangkap.
Kejadian bangunan runtuh bukan satu perkara luar biasa di China, disebabkan piawaian keselamatan yang lemah dan amalan rasuah dalam kalangan pegawai penguatkuasaan.
Januari lalu, letupan yang disyaki akibat kebocoran gas menyebabkan sebuah bangunan runtuh di bandar Chongqing, membunuh lebih 12 orang. – AFP