WASHINGTON: Sebuah satelit pengintip bagi Pejabat Peninjau Kebangsaan (NRO) Amerika Syarikat (AS) berjaya dilancarkan ke angkasa lepas dari California.
Lapor Daily Mail, roket Falcon 9 milik SpaceX yang membawa satelit NROL-85 dilancarkan pada pukul 6.13 pagi (waktu tempatan) semalam dari tapak pelancaran 4E di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, barat laut Los Angeles.
“Roket itu berlepas dengan daya tujahan sebesar 1.7 juta paun mendorong roket hingga ke langit,” jelas laporan itu.
Berdasarkan masa pelancaran dan faktor lain termasuk dokumen perolehan ketenteraan, seorang pakar angkasa membuat spekulasi bahawa roket Falcon 9 membawa dua Sistem Pengawasan Lautan Tentera Laut (satelit NOSS) yang mampu memantau dan mengesan kapal di laut secara elektronik.
Vandenberg menerusi kenyataan memaklumkan ia merupakan misi pertama NRO untuk menggunakan semula roket penggalak SpaceX.
Jelas kenyataan itu, ia juga merupakan penerbangan SpaceX ke-14 bagi tahun ini.
Peringkat pertama roket Falcon itu kembali mendarat semula di pangkalan tepi laut barat laut Los Angeles.
“Peringkat pertama roket berlepas ke arah selatan sebelum berpusing dan mendarat semula ke Bumi dua setengah minit kemudian,” jelas laporan terbabit.
Sementara itu, NRO menyifatkan satelit NROL-85 sebagai ‘muatan keselamatan negara yang amat kritikal’.
SpaceX pula tidak mendedahkan butiran lain mengenai satelit pengintip itu dan hanya menyatakan proses peringkat kedua roket mencapai orbit.