SUMATERA: Pihak polis berjaya membongkar sindiket penipuan yang menggunakan alasan perubatan alternatif menggunakan bunga melur kononnya akan cepat hamil di Kabupaten Banyuasin, Sumatera Selatan.
Lapor Tribunnews, Ketua Polis Talang Kelapa, Sigit Agung Susilo berkata, jumlah mangsa yang tertipu melibatkan seramai 300 orang.
Sindiket itu didalangi oleh tiga wanita iaitu Sarwati, Mariah Abdul Malik dan Dwi Indra Nur Welly yang mempunyai peranan masing-masing.
Kesemua suspek sudah menghasilkan ubat palsu selama lebih tiga tahun di Perumahan Permata, Desa Pangkalan Benteng, Banyuasin.
“Modus operandi sindiket menggunakan taktik urutan. Selepas mangsa diurut, suspek akan menyarankan mereka menggunakan tiga butir garam dan sebanyak tujuh kuntum bunga melur.
“Selepas beberapa kali melakukan urutan, korban dimaklumkan hamil. Bagi meyakinkan mangsa, Teteh dan Mariah akan melakukan ujian kehamilan dengan cara mengambil air kencing mangsa,” katanya.
Sigit berkata, ujian kehamilan itu dilakukan di bilik berasingan dan dicelupkan ke dalam air kencing milik orang lain yang sudah mengandung sehingga hasilnya menunjukkan dua garis biru.
Jelasnya, selepas disahkan positif, mangsa diminta untuk tidak pergi ke tempat lain dan perlu menjalani rawatan di tempat mereka.
“Saya yakinkan mangsa supaya makan garam, bunga dan bawa air putih.
“Mangsa memang benar-benar percaya kalau dikatakan hamil ketika menjalani pemeriksaan di sini,” kata salah seorang suspek.