NEW YORK: Sekurang-kurangnya 29 orang mengalami kecederaan selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di stesen kereta api bawah tanah Brooklyn, kira-kira pukul 8.30 pagi, semalam.
Lapor New York Post, Jabatan Bomba New York bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai kepulan asap di kawasan kejiranan Sunset Park, Brooklyn.
Laporan awal polis memaklumkan seorang penjenayah lelaki memakai topeng gas dan menyamar sebagai pekerja pembinaan dengan memakai jaket berwarna jingga dan topi keledar hijau berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian.
Hasil siasatan awal menunjukkan kemungkinan suspek meletupkan peranti asap di stesen itu.
Menurut polis, suspek melepaskan dua bom asap ketika kereta api memasuki stesen 36th Street di Sunset Park.
Sumber polis memaklumkan ketika kereta api yang penuh sesak dengan pengunjung itu dipenuhi asap, suspek melepaskan 33 das tembakan ke arah penumpang sehingga mengenai 10 mangsa dan 19 yang lain cedera.
Mangsa yang mengalami kecederaan termasuk dua remaja berusia 15 dan 19 tahun serta seorang wanita hamil yang terkena tembakan di bahagian kaki.
Berikutan itu polis menghalang orang ramai melalui kawasan 36th Street dan 4th Avenue di Brooklyn.