KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 168 orang terbunuh dalam pertempuran antara penduduk Arab dan bukan Arab di wilayah Darfur di Sudan.
Lapor Al Jazeera, jurucakap bagi Penyelarasan Am untuk Pelarian di Darfur, Adam Regal berkata, pertempuran berlaku di kawasan Kreinik di wilayah Darfur Barat turut menyebabkan 98 orang cedera.
Menurut Regal, pertempuran itu mula tercetus pada Khamis lalu apabila seorang individu tidak dikenali bertindak menyerang dua orang sehingga maut di Kreinik, kira-kira 30 kilometer (km), timur Genena, ibu kota wilayah Darfur Barat.
“Pertempuran itu berlanjutan hingga ke Genena selepas kumpulan bersenjata menyerang mangsa cedera ketika sedang menerima rawatan di sebuah hospital di bandar tersebut,” katanya.
Beberapa gambar disiarkan dalam media sosial menunjukkan kepulan asap hitam dari rumah dan pondok terbakar.
Darfur dilanda perang saudara yang bermula pada 2003 membabitkan pergaduhan antara pemberontak etnik minoriti yang mendakwa diskriminasi oleh kearaaj dikuasai kaum Arab pimpinan bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir.
Sementara itu, organisasi misi bantuan itu mendakwa kumpulan militan disokong kerajaan dikenali sebagai Janjaweed bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.
Regal mendakwa kumpulan bersenjata itu bertindak membunuh, merompak, membakar dan menyeksa dengan kejam sejak beberapa minggu kebelakangan ini.