KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky meminta Kyiv menyedari hakikat negara itu tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Walaupun pahit untuk ditelan, Zelensky juga akhirnya sedar ‘siapa kawan dan lawan’ sebenar selepas Ukraine menjadi sasaran pencerobohan Rusia, sejak 20 hari lalu.
“Ukraine bukan anggota NATO walaupun kita sudah dengar sebelum ini kononnya pintu akan dibuka.
“Namun, kita juga mendengar bahawa negara ini akhirnya tidak dapat menyertai pakatan itu. Ia adalah perkara benar dan mesti diiktiraf,” katanya.
Zelensky sebelum ini berulang kali menggesa negara Barat melaksanakan zon larangan penerbangan di negara itu.
Disebabkan keengganan itu, Zelensky akhirnya sedar dan ‘melihat siapakah kawan sebenar sejak 20 hari lalu’.
“Boleh anda bayangkan apabila memanggil negara lain dan meminta bantuan mereka di ruang udara dan menghentikan pengeboman, akhirnya mereka hanya menzahirkan kebimbangan sahaja.
“Kami bercakap dengan rakan sekutu dan mereka kata ‘tolong bertahan lama sedikit’,” katanya kepada Ahli Parlimen Kanada.
Sementara itu, Delegasi Ukraine, Mykhailo Podolyak berkata, bantuan lain kepada Zelensky mencatatkan nota lebih optimis kerana rundingan menjadi ‘lebih membina’ dan Rusia tidak lagi mendesak Ukraine menyerah kalah,.
Sebarang perjanjian antara Moscow dan Kyiv akan menghadapi pelbagai kesukaran, termasuk sama ada tentera akan menghormati gencatan senjata dan Rusia boleh dipercayai untuk mengekalkan perjanjian.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak dilihat kelihatan hangat dengan idea gencatan senjata, yang akan membolehkan Ukraine mendapatkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan di kawasan bandar.
Walaupun tidak menyatakan komitmen yang kukuh, kenyataan Zelensky itu dilihat sebagai membuka pintu kepada beberapa jenis perjanjian damai antara Ukraine dan Rusia.
Menjelang pencerobohan sejak 24 Februari lalu, Putin pada awalnya menuntut jaminan Ukraine tidak akan dimasukkan ke NATO serta pengunduran semua tentera dan senjata pakatan itu dari negara bekas Soviet.
Selepas permintaan tersebut diabaikan Kyiv, Washington dan NATO, Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine.