BEIJING: Bandar Wuhan menyasarkan untuk mewujudkan industri angkasa lepas bernilai 100 bilion yuan (RM65.9 bilion) menjelang 2025, sekali gus menjadi bandar satelit baharu China.
Berdasarkan notis daripada pihak berkuasa tempatan, Wuhan menawarkan sehingga 50 juta yuan (RM33.1 juta) insentif kewangan kepada syarikat yang membangunkan industri tersebut, termasuk pembuatan satelit, roket dan kapal angkasa.
Biarpun jumlah yang ditawarkan untuk Wuhan lebih sedikit berbanding bandar lain, China terus komited untuk menjadi kuasa besar dalam bidang angkasa lepas menjelang 2030.
China menyasarkan pemasangan satelit komersial besar yang berupaya menawarkan pelbagai perkhidmatan iaitu daripada internet berkelajuan tinggi untuk pesawat sehingga sistem menjejaki penghantaran arang batu.
Wuhan juga bakal menggalakkan syarikat menggunakan peralatan, perisian dan perkhidmatan daripada sumber tempatan.
Jika mana-mana syarikat menggunakan produk tempatan lebih daripada 10 peratus pengeluaran satelit orbit tinggi dan orbit rendah serta kapal angkasa, organisasi itu berpeluang mendapat insentif kewangan sehingga 15 juta yuan (RM9.9 juta).
Jika produk tempatan menyumbang lebih daripada 30 peratus, organisasi berkaitan boleh menerima insentif sehingga 50 juta yuan.
Tahun lalu, bandar Shenzhen di wilayah Guandong menawarkan insentif sehingga 300 juta yuan (RM198 juta) untuk setiap projek berkaitan pembangunan satelit dan aplikasi berkaitan.
Selain itu, China turut merancang membina pelabuhan angkasa komersial baharu di wilayah pulau selatan di Hainan. – REUTERS