CALIFORNIA: Gara-gara menjadikan isteri sebagai bahan jenaka, pelakon Hollywood, Will Smith naik ke atas pentas berprestij Oscar dan menampar muka pelawak Chris Rock.
Lapor BBC, Smith hilang sabar selepas Rock mempersendakan imej isteri Smith, Jada Pinkett yang botak ketika siaran langsung Oscar 2022.
“Jada, saya sayangkan kamu. Tak Sabar tunggu G.I. Jane 2,” kata Rock.
Smith ternyata tidak senang dengan tindakan Rock yang dianggap keterlaluan kerana bergarau kasar mengenai penampilan siterinya yang tiada rambut.
“Jangan babitkan nama isteri saya!” jerit Smith dari tempat duduknya.
Rock ketika itu tampil menyampaikan anugerah Dokumentari Terbaik Oscars 2022.
Acara berprestij itu ternyata membuatkan ramai tergamam memikirkan sama ada ia sebahagian daripada gimik atau sebaliknya.
Selepas memenangi trofi Pelakon Terbaik menerusi filem King Richard, Smith mengambil kesempatan membuat permohonan maaf kepada pihak Akademi.
“Saya ingin meminta maaf kepada semua rakan artis yang tercalon.
“Seni meniru kehidupan. Saya kelihatan seperti bapa gila yang mereka katakan tentang Richard Williams. Tetapi cinta akan membuatkan anda melakukan perkara gila,” katanya.