PLYMOUTH: Seorang warga emas berusia 87 tahun maut dalam keadaan tragis selepas dia ‘diterbangkan’ angin kipas helikopter yang mendarat di sebuah hospital, di sini pada Jumaat lalu.
Lapor The Sun, akibat angin kencang itu, Jean Langan tercampak ke dinding yang menyebabkan dia mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Agensi Maritim dan Pengawal Pantai mengesahkan helikopter tersebut membawa pesakit ke Hospital Derriford semasa insiden tragis itu berlaku.
Anak saudara mangsa, Gael Hill berkata, Jean tidak sedarkan diri selepas insiden itu, malah dia juga mengalami kecederaan ringan.
“Saya segera mendapatkan ibu saudara selepas insiden itu, namun dia tidak sedarkan diri dan kami membawanya masuk ke unit kecemasan.
“Ketika menerima rawatan, ibu saudara saya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya,” kata Hill.
Hill menjelaskan, ketika insiden itu berlaku, dia membawa ibu saudaranya untuk ke hospital kerana mempunyai janji temu bersama doktor.
“Kami berjalan dan ketika itu ada sebuah helikopter sedang mendarat dan tiba-tiba sahaja keadaan menjadi huru-hara akibat angin kipas helikopter tersebut.
“Saya dapat lihat ibu saudara saya tercampak ke dinding dan pengsan,” katanya.
Dalam pada itu, kehilangan Jean amat dirasai mereka sekeluarga kerana ibu saudaranya amat rapat dengannya.
Hill yang tinggal bersama Jean selama lebih sedekad memberitahu, wanita itu sangat aktif secara fizikal dan rajin berjalan kaki.
“Dia adalah seorang ibu yang penyayang kepada seorang anak lelaki dan tiga cucu yang hebat.
“Mendiang juga merupakan seorang wanita yang pemurah dan kehilangannya akan dirindui kami semua,” ujarnya.